Shan berazam membawa perubahan ekonomi warga Gadek

Shan berazam membawa perubahan ekonomi warga Gadek

ALOR GAJAH, Nov 16: Selaras usaha meningkatkan ekonomi penduduk setempat, calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Gadek, VP Shanmugam menyasarkan untuk melaksanakan tiga misi utama jika diberi mandat sebagai wakil rakyat kawasan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Sabtu ini.

Usaha itu termasuk menubuhkan sebuah koperasi, khusus untuk membangunkan sektor pertanian dalam kalangan belia di samping menjadikan aktiviti pertanian sebagai satu daripada cabang rezeki untuk penduduk.

Shanmugam atau lebih mesra dipanggil `Brother Shan’, 52, berkata cadangan penubuhan koperasi yang akan memacu aktiviti pertanian bagi golongan belia itu selepas mendapati banyak kawasan tanah terbiar di DUN Gadek yang berpotensi dibangunkan sebagai tapak pertanian baharu.

Beliau yang juga penggerak beberapa badan kebajikan dan keselamatan Melaka, berkata langkah itu sekali gus dapat membantu masyarakat terutama belia menaik taraf kehidupan mereka.

“Sekurang-kurangnya 50 belia akan dikumpul bagi menubuhkan koperasi ini dan menerusi penubuhan itu mereka akan menerima banyak faedah serta kemudahan termasuk bantuan kerajaan seperti geran pembangunan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui di Gadek.

Selain penubuhan koperasi, Shan turut berazam menaik taraf Kolam Air Panas Gadek yang ketika ini menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara.

Katanya, kolam air panas terletak di Jalan Ganun itu akan ditambah baik dari segi kemudahan asas, selain kemudahan penginapan chalet dan resort.

“Kolam air panas Gadek sangat berpotensi untuk dibangunkan, sekali gus memberi peluang baharu kepada masyarakat di kawasan sekitar menceburi bidang perniagaan.

“Kita boleh bangunkan kolam air panas ini seperti ‘nightlife’ Jonker Walk di Banda Hilir, malah peniaga kecil juga boleh menjalankan perniagaan menerusi pembukaan gerai pada waktu malam. Kalau kita boleh laksanakan seperti itu, pendapatan pendudukan Gadek dapat ditingkatkan tetapi semua ini perlu dilakukan secara serius,” katanya.

Misi ketiga Brother Shan pula berkaitan isu perumahan selepas mendapati ada penduduk sudah memiliki tanah diwarisi ahli keluarga, tetapi tidak semua mampu membina rumah sendiri.

“Golongan berpendapatan rendah mungkin hanya mampu membeli Rumah Mesra Rakyat berharga RM42,000 dan golongan pertengahan pula Rumah PR1MA yang diberi subsidi RM180,000 oleh kerajaan.

“Saya berjanji akan cuba membawa masuk kemudahan ini dalam DUN Gadek dan apa yang penting berilah saya mandat pada 20 November ini,” katanya.

DUN Gadek menyaksikan pertembungan enam penjuru antara Shanmugam dengan penyandang kerusi itu, G Saminathan (Pakatan Harapan), Azafen Amin (Bebas), Laila Norinda Maon (PUTRA), BS Mohan Singh (Bebas) dan Mohd Amir Fitri Muharam (Perikatan Nasional).

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*