1,000 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia diwujud

1,000 Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia diwujud

KUALA LUMPUR, Nov 17: Mengurangkan jurang digital antara kawasan bandar dan luar bandar akan menjadi fokus utama program transformasi digital Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi).

Melalui program ini, kerajaan akan membina kira-kira 1,000 PEDi yang dijangka dapat memberi lonjakan baharu kepada ekonomi rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata transformasi pusat internet desa yang kini hanya terhad kepada perkhidmatan kemudahan asas internet kepada PEDi akan menyediakan modul latihan kepada rakyat untuk memiliki kemahiran dalam bidang ekonomi digital.

“Kita sasarkan lebih 800 PEDi akan diwujudkan dan hampir 200 lagi akan dibina di mana-mana Dewan Undangan Negeri (DUN) yang tidak mempunyai kemudahan itu, selain keutamaan di sekitar Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Orang kampung cuma perlu pergi ke situ dan mengikuti latihan yang disediakan seperti menjenama dan memasarkan produk, membuat klip video mengenainya, pengiklanan berkesan dan cara menyertai e-dagang.

“Jika dulu, masalahnya hanya soal capaian internet tapi kini, ia lebih kepada aplikasi daripada kemudahan internet itu dan yang berkualiti tinggi. Kita mahu menggerakkan penduduk di luar bandar untuk membuka pasaran secara lebih global dan tanpa had,” katanya dalam temu bual bersama BH, baru-baru ini.

Menerusi Bajet 2022 yang dibentangkan sebelum ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan mentransformasi PEDi sebagai Pusat Sehenti untuk membimbing usahawan mikro menggunakan teknologi digital, bagi menggiatkan lagi transformasi pendigitalan perniagaan dalam kalangan usahawan luar bandar.

Sementara itu, berhubung inisiatif pemberian peranti digital kepada 600,000 mahasiswa daripada keluarga B40 dengan peruntukan RM450 juta, Annuar berkata, perincian mengenainya sedang dibincangkan bagi memastikan ia dapat dilaksanakan dengan kaedah yang terbaik.

“Kita mahu pastikan ia dilaksanakan pada masa yang tepat termasuk mendapatkan bekalan peranti yang mencukupi dan peranti itu sesuai dengan mahasiswa bagi tujuan pembelajaran.

“Ada sedikit perbahasan ketika ini sama ada ia tablet atau komputer riba (yang harus diberikan) dan saya perlu melihat secara terperinci mengenai aspek teknikal ini serta membuat libat urus dengan mahasiswa bagi melihat spesifikasi peranti yang sesuai,” katanya.

Selain itu, Annuar memaklumkan, usaha mempergiat Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) akan diteruskan di bawah Bajet 2022, termasuk melalui pelaksanaan program ‘fiberization’ bagi meningkatkan capaian dan kualiti internet.

“KKMM perlu menguruskan perkara ini dengan baik supaya jurang digital antara wilayah dan kawasan dapat diseimbangkan, sekali gus rakyat mendapat kesaksamaan serta akses kepada internet yang kini disifatkan sebagai satu hak asasi asas.

“Kita perlu pastikan tahap capaian itu walaupun di tempat yang secara komersialnya tidak menarik bagi syarikat (telekomunikasi) tapi rakyat di situ tetap mempunyai hak sama dengan rakyat di bandar,” katanya.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*