Jumlah mangsa banjir di Pahang berkurangan

Jumlah mangsa banjir di Pahang berkurangan

KUANTAN, Jan 6: Seramai 1,369 mangsa banjir daripada 410 keluarga masih ditempatkan di 32 pusat pemindahan sementara (PPS) setakat jam 8 pagi tadi.

Berdasarkan laporan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, jumlah itu membabitkan mangsa di Temerloh, Maran, Pekan, Rompin, Bera dan Raub.

Ia menunjukkan penurunan, berbanding semalam sebanyak 1,846 mangsa daripada 562 keluarga di 32 PPS.

Sementara itu, tiga sungai di Pahang masih merekodkan bacaan melepasi paras bahaya, masing-masing dua di Bera dan Pekan.

Menurut laman sesawang Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), sungai terbabit ialah Sungai Serting di Jambatan Padang Gudang, Bera yang merekodkan 31.30 meter (m), berbanding paras bahaya 30.50m.

Sungai Bera di Jambatan Sungai Bera, Bera merekodkan 26.73m, berbanding 26m dan Sungai Pahang di Kuala Sungai Chini, Pekan mencatat bacaan 16.52m, berbanding 14.90m.

Dua sungai pula merekodkan bacaan paras amaran, masing-masing di Sungai Triang di Triang, Bera dan Sungai Kundang di Jambatan Sungai Kundang, Maran, manakala Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub, Sungai Triang di Taman Agropolitan Chemomoi, Bentong dan Sungai Belat di Sri Damai, Kuantan melepasi paras waspada.

Google+ Linkedin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*

*

*